Saturday, October 22, 2016

Bajet 2017 Beri Lebih Banyak Peluang Kepada Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini disifatkan sebagai bajet yang menyejahterakan rakyat dan memberi lebih banyak peluang kepada penjawat awam.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata penjawat awam terutamanya kumpulan pelaksana menerima manfaat yang besar daripada bajet kali ini.

"Keputusan kerajaan untuk memanjangkan kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa kepada kumpulan pelaksana adalah manfaat yang besar kepada mereka kerana sebelum ini kumpulan pelaksana berhadapan dengan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada pembentangan Bajet 2017 itu, perdana menteri mengumumkan kemudahan cuti belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa dipanjangkan kepada kumpulan pelaksana.

Kemudahan tersebut sebelum ini hanya diberikan kepada penjawat awam di dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional iaitu dari Gred 41 dan ke atas.

Mengenai harga Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia yang dijual pada kadar 20 peratus di bawah harga pasaran, beliau berkata langkah tersebut menjadikan harga rumah lebih terkawal.

"Melalui langkah itu, penjawat awam akan mendapat pinjaman perumahan dengan lebih mudah. Walaupun kerajaan menaikkan had kelayakan pinjaman, ia tidak membawa sebarang perubahan sekiranya harga rumah turut sama meningkat".

Kamarozaman turut menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan perkhidmatan pegawai 'Contract of Service' dan 'Contract for Service' selama setahun yang menurutnya meredakan keresahan pegawai-pegawai kontrak yang masih belum mendapat pekerjaan lain.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata kerajaan buat pertama kalinya telah menunaikan tuntutan Cuepacs untuk memberi lebih peluang kepada kumpulan pelaksana.

"Cuepacs telah lama mencadangkan kepada kerajaan untuk memberikan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan biasiswa kepada kumpulan pelaksana dan cadangan itu telah diterima dalam bajet kali ini," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan menaikkan had pinjaman perumahan penjawat awam dari RM120,00 kepada RM200,000 dan dari RM600,000 kepada RM750,00 yang disifatkan langkah sangat bagus kerana melaluinya para penjawat awam kini berpeluang untuk mendapatkan semula kelayakan pinjaman perumahan mereka.

Dalam pada itu, Azih turut berharap agar ketua-ketua jabatan dalam sektor perkhidmatan awam tidak membuat keputusan di luar pengumuman perdana menteri mengenai pelanjutan perkhidmatan pegawai kontrak selama setahun.

-Bernama.

No comments: