Tuesday, December 6, 2016

Ab Ghaffar Dilantik KSU Baharu Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Datuk Ab Ghaffar A Tambi dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mulai 5 Dis, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Ab Ghaffar, 59, yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, menggantikan Tan Sri Dr Ong Hong Peng yang bersara wajib, katanya dalam satu kenyataan.

"Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan perolehan dan pembangunan menerusi karier perkhidmatan," katanya.

Ab Ghaffar, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sosiologi/Sejarah (Kepujian) dari Universiti Malaya, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 35 tahun dengan menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1981.

"Pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimilikinya akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan.

"Beliau juga mampu meneruskan misi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam memacu sektor pelancongan dan kebudayaan serta memperkasa, memulihara dan memelihara seni, budaya dan warisan negara," kata Ali.

Pada masa sama, Ali turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak kerajaan kepada Ong atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama lebih 35 tahun.

-Bernama.

No comments: