Friday, June 30, 2017

KSN Akan Jumpa Cuepacs Bincang Penambahbaikan Sektor Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan berjumpa pihak Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi membincangkan cadangan menambah baik sektor penjawat awam termasuk cadangan kongres berkenaan supaya gaji penjawat awam dan pencen pesara dinaikkan sehingga tiga peratus.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perjumpaan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Ali mengulas kenyataan Cuepacs sebelum ini yang dilapor mencadangkan supaya perkara berkenaan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan dalam Bajet 2018.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di KL Sentral dan laluan pejalan kaki baharu yang menghubungkan pusat sehenti pengangkutan rel awam itu dengan Stesen Transit Aliran Massa Muzium Negara, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Ali menarik perhatian bahawa kerajaan telah memberi kenaikan tiga peratus secara automatik kepada penjawat awam yang telah mencapai tahap maksimum tangga gaji masing-masing, sejak dua tiga tahun lepas.

"Dulu penjawat awam apabila sampai ke had maksima gaji, kena tunggu naik pangkat (untuk naik gaji), tetapi sekarang memang dah automatik...kita laksana sejak 2014," katanya.
- BERNAMA.

No comments: