Monday, February 19, 2018

Cuepacs gesa rumah pertama tanpa GST

WACANA Transformasi Nasional 2050 (TN50) anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berlangsung di Bahagian Teknologi
Pendidikan Negeri di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

KOTA BHARU 19 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa supaya pemilikan rumah pertama dalam kalangan penjawat awam dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, hal demikian kerana kira-kira 800,000 hingga 900,000 penjawat awam berumur lingkungan 25 hingga 35 tahun di negara ini masih belum memiliki rumah pertama.

"Kita telah membuat analisis dan mendapati penjawat awam bagi Kumpulan Pelaksana 2 atau dikenali golongan B40 tidak mampu membeli rumah seperti di projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang berharga sekitar RM150,000 hingga RM300,000. Sedangkan tangga gaji mereka di bawah RM3,000.

"Jadi, kita ingin mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan bagi rumah pertama yang dijual kepada penjawat awam dan rakyat dikecualikan GST kerana kita tahu kos rumah yang dijual itu termasuk dengan kos upah serta kos bahan-bahan mentah yang dikenakan cukai berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.


Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Mohtar Mohd. Abd. Rahman, Pengarah Unit Khas TN50, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk V. Valluvan dan Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.
-Utusan Online.

No comments: