Friday, March 23, 2018

CUEPACS gesa isi perjawatan 100 peratus

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (tengah) bergambar bersama ahli KEKAF pada Program Bual Bicara Ahli Kesatuan Kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (KEKAF) FAMA di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - Foto Norizzah Baharudin

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) menggesa kerajaan memastikan pengisian perjawatan di setiap agensi, jabatan atau badan berkanun di negeri dan Persekutuan mencapai tahap 100 peratus.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata langkah itu penting terutama bagi perjawatan di barisan hadapan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, efektif dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan kerajaan.

"Kita menerima banyak aduan berkaitan masalah perjawatan yang tidak diisi daripada pelbagai pihak baik agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun di peringkat Persekutuan dan negeri dengan perjawatan yang diisi hanya sekitar 85 hingga 90 peratus saja.

"Kekosongan perjawatan yang ada ini disebabkan pelbagai faktor terutamanya persaraan. Perkara ini perlu diambil serius pihak yang melakukan lantikan perjawatan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia akan menyebabkan tenaga kerja atau kakitangan tidak mencukupi sehingga boleh menjejaskan prestasi dan produktiviti secara keseluruhan," katanya selepas Program Bual Bicara Ahli Kesatuan Kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (KEKAF) Zon Selatan di sini.

Turut hadir, Presiden KEKAF, Mohd Hamidi Saleh.

Mengulas lanjut, Azih berkata, gesaan berhubung pengisian jawatan itu tidak membabitkan permintaan pertambahan waran perjawatan baharu, sebaliknya mengisi perjawatan sedia ada.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga secara tidak langsung dapat meringankan beban kerja penjawat awam dalam melaksanakan tugas seharian yang semakin mencabar dengan tekanan luar termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sementara itu, Azih berkata pengumuman elaun khas RM200 sebulan kepada 13,342 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara berkuat kuasa 1 April ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap skop kerja jabatan berkenaan yang semakin mencabar dan berisiko.


Beliau berkata, pemberian elaun berkenaan diharap dapat meningkatkan lagi produktiviti anggota bomba dan penyelamat, seterusnya memberi keyakinan terhadap usaha kebajikan dilaksanakan kerajaan.
-BERNAMA/berita harian.

No comments: