Saturday, August 4, 2018

Pelancaran Bulan Kebangsaan paling bersejarah

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) dan timbalannya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kanan) hadir ke Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama, Georgetown, malam ini. - UTUSAN ONLINE/AZMAN ASMAYATIM

PULAU PINANG 4 Ogos - Pelancaran Bulan Kebangsaan 2018 yang diadakan serentak dengan kempen Kibar Jalur Gemilang kali ini disifatkan sebagai paling bersejarah kerana dilaksanakan buat pertama kalinya di bawah tampuk pemerintahan kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobimd Singh Deo berkata, selain itu, sejarah juga tercipta kerana Pulau Pinang telah terpilih sebagai tuan rumah buat julung kalinya untuk program berskala besar seperti itu sejak 10 tahun lalu.

"Justeru, harapan saya, di sinilah kita eratkan perkenalan, persefahaman dan jalinan hubungan yang kukuh antara pemimpin dengan rakyat dalam semangat gelora patriotisme dan cintakan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Padang Kota Lama, di sini, malam ini.

Selain pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di sini, dua lagi program utama yang dirancang sempena sambutan Hari Kebangsaan ialah acara perbarisan pada 31 Ogos ini di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Sabah.

Dalam pada itu, Gobind memberitahu, tema 'Sayangi Malaysiaku' sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri sejak 30 Mei lalu.

Katanya, tema itu dipilih bagi merai serta mempertingkatkan lagi semangat cintakan negara di kalangan setiap warga rakyat Malaysia.

"Oleh itu, saya merayu kepada setiap rakyat supaya menunjukkan cinta setianya kepada Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian.


"Kibarkan dengan penuh perasaan kebangsaan dan kegembiraan untuk menunjukkan bahawa Malaysia ini kita yang punya," ujar beliau. 
-Utusan.

No comments: