Tuesday, October 9, 2018

Harap penjawat awam tidak dibuang


KUALA LUMPUR 8 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan tidak akan mengecilkan jabatan atau agensi dengan bertindak membuang penjawat awam sedia ada.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan mengekalkan penjawat awam sedia ada kerana mereka adalah perhubungan kerajaan dengan rakyat.

“Kerajaan sekarang dipilih oleh rakyat malah mereka juga masih berorientasikan rakyat malah berkhidmat untuk rakyat.

“Mengenai kajian agensi yang mempunyai tugas bertindih, kami percaya kerajaan ada cara untuk menyelesaikannya dan kita harap selepas ia diselesaikan, pemantapan organisasi akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar semalam bahawa kerajaan sedang mengkaji beberapa jabatan dan agensi yang mempunyai pertindihan fungsi selepas penyusunan dilakukan.

Tambah Azih, beliau berharap ke­naikan yang diumumkan kerajaan lalu itu tidak akan dibatalkan kerana ia me­rupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu penjawat awam.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara kerana sudi untuk bantu dan kaji.

“Gaji yang diperoleh penjawat awam jika mahu diban­dingkan dengan kos sara hidup adalah masih rendah jadi kita harap ia tidak dibatalkan,” katanya.
-Utusan.

No comments: