Thursday, May 16, 2019

3 tuntutan CUEPACS kepada kerajaan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan seiring tempoh setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Selain isu perumahan untuk penjawat awam, kesatuan itu mahu campur tangan dalam pengendalian dan pelaksanaan dasar kerajaan oleh individu lantikan politik dihentikan, serta pertimbangan memberi insentif khas sempena Aidilfitri ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata kerajaan diminta mengekalkan dasar perumahan untuk penjawat awam berikutan masih ramai belum memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata, jika kerajaan memutuskan tiada pengkhususan dasar untuk penjawat awam membeli rumah, kemampuan mereka bersaing dalam pasaran terbuka akan menjadi lebih mencabar.

“Berdasarkan sejarah, penjawat awam memang tidak mampu bersaing dengan gaji swasta yang lebih tinggi.

“Sekiranya dasar ini disusun semula dengan percampuran (pembelian rumah antara) penjawat awam dan swasta, kami bimbang kakitangan awam tidak akan mampu membeli rumah.

“Harga RM300,000 untuk rumah mampu milik sangat tinggi dan di luar kemampuan (penjawat awam),” katanya pada sidang media bagi mengulas tempoh setahun pentadbiran PH, di sini, hari ini.

Azih berkata, penjawat awam tidak ada harapan selain untuk kerajaan menyedia dan menawarkan rumah mampu milik kepada mereka, dengan harga tidak melebihi tahap kemampuan gaji yang diterima.

“Setiap kali cabutan (undi untuk) rumah penjawat awam, hanya 10 peratus berjaya, manakala 90 peratus lagi perlu bersaing dengan pekerja swasta dan akhirnya tidak dapat.

“Diharapkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) melihat perkara ini. Melalui Dasar Perumahan Negara, CUEPACS pun tidak dipanggil. Dasar ini sepatutnya dapat menjamin penjawat awam untuk membeli rumah,” katanya.

Azih berkata, CUEPACS juga sudah membangkitkan perkara itu untuk pengetahuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan akan menulis surat serta bersedia bertemu menteri bertanggungjawab jika gesaan mereka tidak diberi perhatian.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menerima aduan bahawa ada individu lantikan politik mencampuri urusan dalam perkhidmatan awam.

“Apa (aduan) yang sampai ke pejabat kami, ada dasar diputuskan lantikan politik yang tidak mahu penjawat awam buat. Mereka (lantikan politik) yang hendak buat.

“Kalau ada halangan begini, ia akan melambatkan proses pelaksanaan. Penjawat awam tidak akan berdiam diri kerana mereka memegang dan memikul tanggungjawab,” katanya.

Seterusnya, Azih menjelaskan tuntutan bayaran insentif khas sempena Aidilfitri adalah seperti tahun sebelum ini, sebagai bukti keprihatinan kerajaan membantu meringankan beban penjawat awam, terutama mereka yang memiliki keluarga besar.

Beliau sekali gus mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang sudah menyatakan komitmen memberi insentif khas kepada penjawat awam di negeri terbabit.

“Kita sudah mengutus surat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, justeru berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bantuan khas kerana sara hidup ketika ini adalah tinggi serta mencabar. Diharapkan juga boleh mendapat lebih awal untuk persiapan raya,” katanya.
-berita harian.

No comments: