Tuesday, April 10, 2012

Cuepacs Mahu Isu PTD & Penjawat Awam Berstatus Kontrak Diselesai Segera

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi memohon kerjasama kerajaan agar Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) berstatus kontrak diserapkan ke jawatan tetap.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata terdapat PTD kontrak yang sudah berkhidmat lebih empat tahun turut tidak disambung kontrak, menyebabkan mereka kehilangan mata pencarian.

Beliau berkata isu itu telah diperjuangkan sejak tiga tahun lalu tetapi masih menemui jalan buntu meskipun beberapa pertemuan dilakukan dengan pihak tertentu termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya ia diselesaikan segera.

"Kita sendiri tidak tahu apakah punca mereka tidak diserapkan sedangkan prestasi kerja mereka cemerlang. Saya bersimpati dengan mereka kerana mereka sudah berkeluarga dan memerlukan kos yang tinggi.

"Tekanan-tekanan seumpama ini dikhuatiri boleh menimbulkan masalah keluarga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama sebahagian daripada PTD berstatus kontrak di sini Selasa.

Dianggarkan seramai 700 PTD kontrak yang telah empat tahun berkhidmat dengan kerajaan, telah tamat atau bakal ditamatkan mengikut tarikh lantikan masing-masing, katanya.

Omar berharap satu pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat diadakan sebelum sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini bagi menyelesaikan isu berkenaan termasuklah nasib penjawat awam berstatus kontrak yang lain.

Omar berkata difahamkan kebanyakan PTD sebelum ini sudah mempunyai jawatan tetap di syarikat-syarikat multinasional, tetapi perlu menerima jawatan dalam kerajaan meskipun berstatus kontrak kerana mereka adalah pemegang biasiswa kerajaan.

"Jika pegawai-pegawai ini tidak menerima jawatan kontrak, mereka terpaksa membayar ikatan biasiswa antara RM35,000 hingga RM300,000 mengikut bidang yang ditaja JPA," katanya.

Dalam perkembangan lain Cuepacs berkata pihaknya masih belum mendapat maklumat mengenai senarai nama pihak yang akan mengganggotai suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, seperti diumumkan Perdana Menteri pada Mac lepas.

"Kita minta supaya nama-nama itu dimaklumkan secepat mungkin," katanya.

-Bernama/maa.

No comments: