Friday, April 6, 2012

Penjawat awam perlu profesional

KUANTAN 5 April - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, setiap penjawat awam perlu beriltizam untuk membentuk akhlak dan peribadi baik serta mengamalkan daya kerja berkualiti bagi mengekalkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Baginda bertitah, untuk melihat negara ini terus maju, aman dan program-program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, ia memerlukan penggemblengan tenaga kerja seluruh penjawat awam di negara ini.

"Setiap penjawat awam perlu profesional serta menggunakan pendekatan terbaik ketika menjalankan apa saja urusan yang membabitkan rakyat.

"Jika mereka sama saja seperti sebelumnya tanpa ada penambahbaikan, tidak mustahil suatu hari nanti pihak atau organisasi lain akan mengambil alih peranan kita hari ini kerana kita tidak lagi relevan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Pahang serta Majlis Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, di sini malam tadi.

Sultan Ahmad Shah bertitah, hubungan baik antara penjawat awam dan ahli politik perlu diwujudkan agar matlamat memajukan negara dapat dicapai kerana melalui persefahaman kedua-dua pihak berkenaan banyak program negara dapat dilaksanakan.

"Bagaimanapun, setiap tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam tidak perlu dipolitikkan kerana ia akan menyusahkan rakyat serta melambatkan perancangan kerajaan," titah baginda.

Baginda juga bertitah, penjawat awam yang profesional tidak akan menyokong mana-mana parti politik sebaliknya hanya menjalankan tugas masing-masing berasaskan dasar yang telah ditetapkan.

"Oleh itu, setiap penjawat awam perlu komited dan mendokong aspirasi kerajaan hari ini," titah baginda.

-Utusan Online/maa.

No comments: