Wednesday, May 23, 2012

Perkasa peranan kesatuan sekerja - TPM


Muhyiddin Yassin bertanyakan sesuatu kepada seorang penerima sumbangan kerusi roda yang ditimpa bencana pada Majlis Perjumpaan Bersama Kesatuan Sekerja di Persada Johor, Johor Bahru, semalam. Turut hadir Abdul Ghani Othman (kiri) dan S. Subramaniam (tengah). - BERNAMA


JOHOR BAHRU 22 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak kesatuan-kesatuan sekerja memperkasakan peranan serta hala tuju agar lebih proaktif dan bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan.


Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia juga bagi mengukuhkan persefahaman dengan majikan sekali gus mengurangkan pertikaian atau pergeseran perusahaan. Kata beliau, tumpuan terhadap aspek itu dapat meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak tanpa memerlukan campur tangan atau sebarang tekanan daripada kerajaan.


"Sebagai contoh, hanya 311 kes pertikaian perusahaan dilaporkan pada 2011 berbanding 436 kes pada 2000 iaitu pengurangan sebanyak 28 peratus. Perkembangan positif ini memberi manfaat besar kepada semua pihak berkaitan. "Persekitaran kerja yang kondusif amat memerlukan kerjasama padu dan persefahaman jitu antara kesatuan sekerja dengan majikan sama ada meliputi hal ehwal kebajikan pekerja atau pengurusan serta prestasi syarikat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Timbalan Perdana Menteri Bersama Kesatuan Sekerja peringkat Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini. Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan dana sebanyak RM100 juta untuk Perbadanan Tabung Pinjaman Kemahiran (PTPK) bertujuan meningkatkan kemahiran di kalangan pekerja dan sumbangan kerusi roda kepada sembilan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami kemalangan semasa bekerja.


Menurut Muhyiddin, kerajaan sentiasa memberi tumpuan berkaitan hak dan kebajikan warga pekerja yang mana pelbagai inisiatif ke arah memantapkan jaringan keselamatan sosial sedang dilaksanakan. Ia katanya, termasuk semakan semula akta-akta perburuhan secara holistik. Tambahnya, semua cadangan penambahbaikan itu dibincangkan melalui kaedah tiga hala membabitkan kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja yang mewakili kepentingan keseluruhan warga pekerja.
-utusan/maa.

No comments: