Thursday, July 5, 2012

Penangguhan urusan awam menjurus gejala rasuah

DR. Mahathir Mohamed menyampaikan ucapan sambil diperhatikan oleh Badlisham Ghazali di PICC, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 4 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya gejala rasuah akibat kelewatan melaksanakan sesuatu perkhidmatan dalam sektor awam.

Bekas Perdana Menteri berkata, penangguhan sebarang urusan dalam perkhidmatan kerajaan merupakan antara perkara yang beliau takutkan disebabkan ia berkait rapat dengan rasuah.

Menurut beliau, jika sesuatu urusan perkhidmatan boleh dilakukan dalam masa sehari, maka seeloknya urusan tersebut dilakukan dalam masa sehari sahaja.

“Jika sesuatu urusan itu tidak dapat dilakukan dalam tempoh masa sehari, hubungi pegawai bertugas dan tanya kenapa ia tidak dapat dilakukan dalam masa sehari.

“Dari situ, dia akan memberikan penjelasan yang boleh diterima atau tidak boleh diterima," katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Tun Dr. Mahathir sempena Persidangan Digital Kebangsaan (NDC) 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali mengenai impian yang diharapkan menerusi penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Menurut Dr. Mahathir, biarpun begitu, tempoh masa perlu diberikan terhadap setiap tugas yang perlu dilakukan oleh jabatan dan pegawai kerajaan.

“Seperti yang anda tahu kita ada carta aliran dan fail untuk sebarang urusan perkhidmatan.

“Jadi, masa yang diambil menentukan sama ada sesuatu perkhidmatan itu dilakukan dengan baik atau tidak," katanya.

Ditanya mengenai keperluan untuk perkongsian data maklumat pelbagai jabatan kerajaan, beliau berkata, bukan semua maklumat boleh dikongsi dengan begitu mudah.

Dr. Mahathir memberitahu, perlu ada batasan untuk perkongsian maklumat kerana ia perlu diklasifikasi sama ada maklumat itu boleh dikongsi atau tidak boleh dikongsi.

-Utusan online/maa.

No comments: