Friday, December 20, 2013

Terus perjuang gaji setimpal kakitangan awam


KUALA LUMPUR 19 Dis. - Kepemimpinan baharu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bertekad memperjuangkan agenda pendapatan RM4,000 sebulan untuk penjawat awam negara ini.

Presiden CUEPACS yang baharu dipilih, Azih Muda berkata, perkara itu akan diusahakan bersungguh-sungguh dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, jumlah pendapatan yang diraih oleh penjawat awam terutama peringkat paling rendah seperti pembantu am rendah dan pemandu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kos yang perlu dibelanjakan setiap bulan.

"Untuk dua jawatan ini, gaji asas mereka ialah RM820 dan selepas dicampurkan dengan elaun jumlahnya hanya sekadar RM1,100. Jumlah ini tidak mencukupi.

"Oleh itu kita perlu memperjuangkan pendapatan yang lebih baik untuk penjawat awam kita ini dan saya lihat jumlah paling sesuai adalah RM4,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Presiden CUEPACS dalam Konvensyen Tritahunan CUEPACS di sini hari ini.

Azih berkata, untuk merealisasikan hasrat tersebut, kepimpinan baharu CUEPACS akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Selain memperjuangkan pendapatan lebih baik, Azih berkata, pihaknya akan melihat beberapa perkara lain bagi tujuan penambahbaikan penjawat awam sekali gus menjaga kebajikan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan penghargaan kepada bekas Presiden, Datuk Omar Osman kerana mewariskan sebuah kesatuan yang cemerlang dan stabil.
"Memang tidak dinafikan Omar telah meletakkan CUEPACS pada kedudukan terbaik. Kami mewarisi satu legasi kepimpinan yang begitu cemerlang.

"Sebagai Presiden yang baharu saya akan berusaha mengekalkan kecemerlangan yang telah diasaskan oleh Omar selama beliau menjadi Presiden CUEPACS sejak tujuh tahun lalu," ujarnya.

Dalam pada itu beliau berharap kerajaan dapat menimbangkan permintaan CUEPACS untuk melantik Omar sebagai Ahli Dewan Negara.
-utusan.

No comments: