Friday, December 12, 2014

Penjawat Awam Perlu Dinamik

GEORGE TOWN, 11 Dis (Bernama) -- Penjawat awam digesa bersikap dinamik dan mengamalkan konsep bekerja dengan memfokuskan kepada masyarakat bagi memenuhi jangkaan rakyat yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata golongan berkenaan harus mempunyai keupayaan bekerja merentasi sempadan tugas di samping sentiasa berusaha mencari ruang memperbaiki dan menambah baik sistem sedia ada.

"Sebagai contoh Jabatan Imigresen, saya lihat orang ramai beratur dan menunggu lama kadang kala sehingga keluar bangunan hanya untuk mengambil nombor giliran. Ini membuatkan orang marah kepada kita.

"Jika pengurusan memahami peranan dan memahami konteks kerja mereka secara menyeluruh, isu sebegini boleh diselesaikan," katanya ketika berucap pada majlis Pentauliahan Rakan Pemimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) di sini pada Khamis.

Beliau menyarankan penggunaan kakitangan secara optimum termasuk melibatkan petugas di bahagian lain mengikut keperluan semasa dapat mempercepatkan urusan pelanggan sekali gus meningkatkan produktiviti kerja.

Pada majlis kali ke-10 itu, sebanyak 1,186 anggota Akrab daripada pelbagai jabatan dan agensi seluruh negara menerima sijil tauliah, yang diharap dapat membantu meningkatkan potensi sumber manusia di tempat kerja masing-masing.

Editor Meja Tugasan Khas dan Rencana Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Nasir Yusoff meraih anugerah Akrab Proaktif bagi kategori individu.

Beliau bersyukur kerana sumbangannya menjadi rakan pemimbing di Bernama diiktiraf di samping peranan beliau yang aktif mempromosi kerjasama antara Malaysia dan Indonesia menerusi penulisan.

"Ini antara dua faktor pemilihan saya sebagai penerima anugerah ini dan kejayaan ini paling bermakna sejak saya menyertai Akrab lima tahun lepas," katanya yang telah berkhidmat selama 31 tahun dengan Bernama.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memenangi anugerah Akrab Dinamik bagi kategori organisasi, buat kali kedua berturut-turut, pada majlis yang diadakan dwitahunan itu.

-Bernama.

No comments: