Saturday, February 28, 2015

Skim kakitangan awam ditingkatkan


KLANG 26 Feb. – Penambahbaikan ke atas 252 skim perkhidmatan awam yang dijangka diumumkan tidak lama lagi diharap mampu meningkatkan kualiti kehidupan kakitangan kerajaan yang kini terbeban dengan kos kenaikan sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, ramai dalam kalangan kakitangan awam terutama gred paling rendah, iaitu Gred 11 hidup dalam serba kekurangan berikutan kadar tangga gaji yang masih kecil.
Menurutnya, ramai daripada golongan tersebut belum memiliki rumah sendiri, selain gaji yang tidak setimpal dengan tugas serta tanggungjawab mereka.
“Gaji kakitangan awam Gred 11 yang memohon dengan sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah kecil, tidak mampu untuk berdepan dengan kos kehidupan semasa.
“CUEPACS bimbang fenomena sebegini sekiranya berterusan boleh menjerumuskan mereka kepada gejala sosial,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Azih memberitahu, bagi memastikan penambahbaikan 


tersebut benar-benar memberi kesan positif kepada penjawat 

awam, beliau berharap aspek gaji dapat diperhalusi dengan 

teliti sebelum pengumuman skim itu dibuat.

Dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan sedia ada bertujuan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Kita tidak mahu apabila sudah diumumkan, ada yang tidak berpuas hati,” ujarnya.
-Utusan.

No comments: