Tuesday, October 17, 2017

Gaji, kos sara hidup & rasuah

Beberapa khabar gembira untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018. Wah! Setiap tahun hampir ada sahaja habuan ‘istimewa’ kepada pekerja sektor kerajaan atau awam. Pengumuman Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini pasti memberi harapan kepada penjawat awam seluruh Malaysia.

Kalau kerajaan nak beri, lebihkan peruntukan kepada golo­ngan kakitangan bawahan. Pemerhatian CUEPACS sejak beberapa tahun lalu mendapati skala gaji rendah dan kos sara hidup tinggi mungkin menjadi antara faktor penjawat awam terbabit rasuah.

Bagaimanapun rantaian masalah kos sara hidup tidak pernah berkurangan. Jika kerajaan mahu naikkan gaji lagi, bagaimana dengan harga barangan. Takkan peniaga hanya melihat kaki­tangan kerajaan sahaja banyak duit.

Peniaga juga hendak merasa sedikit wang yang kakitangan dapat. Maka harga barangan mungkin naik juga. Bagaimana pula orang ramai yang bukan bekerja dengan kerajaan? Tanggung apa sahaja kenaikan harga barangan?

Mengekang kenaikan kos hidup dan menaikkan gaji adalah dua perkara berbeza. Berdasarkan pengalaman lalu, menaikkan gaji secara mendadak pun tidak ada guna, sebab kenaikan harga barangan bagaikan selari dengan kenaikan gaji sektor awam. Umum sahaja kenaikan gaji minggu depan, hari ini harga barangan sudah naik.

Tambahan pula agensi penguatkuasaan kerajaan masih lemah dalam hal ini. Mekanisme yang lemah perlu diperbaiki dengan segera untuk mengelakkan masalah ekonomi ini memberi kesan pula kepada permasalahan sosial.

Selama ini pun gaji bulanan golongan bawahan mahupun pertengahan dan atasan jarang-jarang yang cukup. Segelintir orang guna jalan rasuah untuk tampung kekurangan itu. Sebenarnya amalan rasuah berlaku dalam sektor awam dan swasta – asalkan ada urusan melibatkan wang.

Gaya hidup

Tetapi punca amalan rasuah da­lam kalangan penjawat awam ialah nafsu, iaitu gaya hi­dup me­­lebihi pendapatan. Tidak mengukur baju di badan sendiri. Bukan semua penjawat awam begitu – hanya se­gelintir penjawat awam bergaya hidup mewah dengan buat pinjaman peribadi – bila hutang tak dapat dijelaskan, rasuah dijadikan sandaran. Ber­beza dengan pega­wai awam gred tinggi yang bergaji besar, hidup mewah dan ada kuasa tapi segelintir lakukan rasuah juga.

Untuk menanganinya, elok sangat diberikan ganjaran serta per­lin­dungan kepada pemberi maklumat, terutama daripada pihak dalaman. Ganjaran itu bo­leh menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah sekali gus mampu meng­hapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Hakikatnya sampai sekarang, go­lo­­ngan sokongan masih takut me­la­por­kan ketua jabatan yang ra­suah. Mere­ka takut terjejas masa depan ker­jaya dan peluang kenaikan pangkat. Apa pun kadangkala go­longan sokongan dan ketuanya sama-sama amal rasuah.

Tahniah Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ber­jaya melakukan beberapa tang­kapan dan penyelewengan dalam kes-kes rasuah terbesar di Malaysia khasnya sejak tahun lalu.

Dalam konteks politik masa kini, tahap kebolehpercayaan ins­­ti­tusi kerajaan di mata rakyat bergantung kepada sejauh mana pemerintah dan penjawat awam dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Bukan mudah untuk memerangi amalan rasuah dan salah guna kua­sa. Sikap belas kasihan kepada pesa­lah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata.

Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Atas dasar simpati, suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja.
-Utusan.

No comments: