Monday, October 30, 2017

Tukar formula 13-13 kepada 10-8: CUEPACS

KUALA LUMPUR: CUEPACS merayu kepada kerajaan, supaya mengkaji semula kenaikan pangkat kumpulan pelaksana berasaskan tempoh perkhidmatan (time-based) daripada 13 tahun kepada 10 tahun untuk kali pertama dan lapan tahun bagi kenaikan kali kedua.

 
Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata walaupun dalam Bajet 2018, kerajaan mengumumkan kenaikan pangkat kali kedua selepas 13 tahun, ia tempoh yang terlalu lama bagi penjawat awam kumpulan itu untuk merasai peluang kenaikan pangkat.

"Ketika ini, kenaikan pangkat ditetapkan kerajaan bagi kumpulan pelaksana ialah selepas 13 tahun berkhidmat dan menerusi Bajet 2018, kenaikan kedua juga dilaksanakan selepas 13 tahun lagi.
 
"CUEPACS berpendapat kenaikan pangkat sehingga 13 tahun bagi kali kedua terlalu lama, terpaksa menunggu sehingga 26 tahun untuk menikmati kenaikan pangkat dan gaji, sedangkan mereka adalah kumpulan paling terbeban dan menanggung kos sara hidup yang meningkat setiap tahun.
 
"Berikutan itu, kita merayu kerajaan supaya menukar formula ini daripada '13-13' kepada '10-8' bagi membolehkan penjawat awam kumpulan pelaksana yang merangkumi kakitangan Gred 11 hingga 29, menikmati kenaikan lebih cepat berbanding sekarang," katanya kepada BH.
 
Ketika membentangkan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan mulai 1 Januari tahun depan, kenaikan pangkat berasaskan 'time-based' kali kedua bagi kumpulan pelaksana adalah 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.
 
Ketika ini, kumpulan pelaksana hanya berpeluang menikmati kenaikan pangkat sekali sahaja selepas 13 tahun berkhidmat.
 
Kira-kira 60 peratus atau 960,000 daripada 1.6 juta penjawat awam yang berkhidmat di seluruh negara adalah daripada kumpulan pelaksana.
 
Bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional, kenaikan pangkat mereka tidak terikat kepada tempoh perkhidmatan kerana ia dilaksanakan menerusi Sistem Kenaikan Pangkat Secara Fleksi.
 
Azih berkata, CUEPACS berharap kerajaan menggunakan peluang perbahasan Bajet 2018 di Parlimen nanti, untuk menimbang semula Formula 13-13 kepada 10-8.
 
"Sekiranya formula 13-13 bagi kenaikan pangkat itu dikekalkan, jika ada 1,000 penjawat awam kumpulan pelaksana yang layak, mungkin hanya 10 orang sahaja berpeluang naik pangkat," katanya.
-BH Online.

No comments: