Thursday, December 28, 2017

Cuepacs desak batal penalti, notis pengosongan kuarters kerajaan

AZIH MUDA menunjukkan notis pengosongan kuarters yang dikeluarkan BPH kepada penjawat awam
dalam isu pemindahan tempat kerja dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan membatalkan penalti dan notis pengosongan kuaters yang dikenakan terhadap lebih 500 penjawat awam dan pesara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penalti yang mencecah hampir RM120,000 yang dikeluarkan Badan Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri itu dikenakan ekoran arahan pemindahan tempat kerja dari Kuala Lumpur ke Putrajaya dan sebaliknya selain persaraan kakitangan yang terlibat.

Katanya, rata-rata penjawat yang menerima penalti dan notis pengosongan tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut apatah lagi menerima notissi peringatan daripada badan tersebut.

“Kami hendak lihat kerajaan yang dipimpin seorang Perdana Menteri yang begitu bertanggungjawab, lepaskan kelompok ini. Mengapa pertukaran tempat kerja dalam radius 25 kilometer (km) tetapi nak dikenakan caj apabila menduduki kuarter, sebab kita berkhidmat di bawah kerajaan yang sama.

“Kita akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara petang ini dan meminta agar polisi yang membebankan penjawat awam dan pesara diubah.Diharapkan pembatalan tunggakan sewa ini akan dibuat sebelum 1 Januari tahun depan,” katanya di sini hari ini.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bertemu dengan kira-kira 100 penjawat awam dan pesara yang terlibat dalam masalah dikenakan penalti dan notis pengosongan kuarters daripada BPH di ibu pejabat CUEPACS di sini.
-Utusan Online.

No comments: