Friday, November 4, 2011

Pembayaran RM888,000 dibuat kepada LCL Interior, bukan Awana Dubai

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pembayaran wang sebanyak RM888,000 bagi pelaksanaan projek restoran Malaysia di Dubai dibuat kepada LCL Interior, dan bukan Awana Dubai. 


Bekas Ketua Pengawal Kewangan Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA), Lim Khing Tai, berkata ini kerana Awana Dubai, yang bertanggungjawab melaksanakan projek itu pada 2007, belum mempunyai akaun bank.
Lim, 40, yang kini perunding bebas, turut menafikan beliau melakukan kesalahan besar kerana membuat pembayaran kepada LCL Interior.
Saksi ketujuh pendakwaan itu berkata bekas Ketua Pegawai Operasi PEMPENA Mohammad Rosly Md Selamat memberitahunya secara lisan supaya menyediakan pembayaran berkenaan. 

"Saya kemudian mengarahkan staf saya menyediakan pembayaran secara kiriman wang kepada syarikat LCL Interior yang dimiliki oleh Datuk Low Chin Meng," katanya pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan Mohammad Rosly dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab. 

Pada 16 Ogos tahun lalu, Mirza, 54, dan Mohammad Rosly, 57, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah meluluskan pembayaran wang berjumlah RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007, bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Feb 2007. 
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda, dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Selain itu, Lim mengakui beliau tidak memaklumkan pembayaran yang dibuat kepada LCL Interior kepada Ahli Lembaga Pengarah PEMPENA pada mesyuarat bertarikh 22 Disember 2007. 

"Saya dipanggil untuk menghadiri mesyuarat itu hanya sebagai jemputan dan saya tidak boleh bercakap di dalam mesyuarat, ataupun senyum," katanya ketika disoal peguam G.Rajumaren yang mewakili Mohammad Rosly. 

Bagaimanapun, Rajumaren mempersoalkan jawapan Lim dan membacakan kepada mahkamah beberapa minit mesyuarat yang mencatat pandangan saksi itu. 

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh kemudian meminta penjelasan Lim mengenai perkara itu. 

Lim berkata beliau hanya akan bersuara apabila pandangannya diperlukan, atau ketika disoal ahli lembaga pengarah PEMPENA. 

Rajumaren turut mencabar kredibiliti saksi itu dengan mengungkit kejadian lampau yang menyaksikan Lim menukar minit mesyuarat bertarikh 19 Disember 2006 untuk menyebelahi Low dalam satu projek tempatan, iaitu Wisma Yeap Chor Eee & Khoo Kongsi, namun Lim menafikan beliau membuat pindaan berkenaan. 

Perbicaraan disambung 14 November ini. 
- BERNAMA/maa. 

1 comment:

Anonymous said...

cepatlah perbicaraan ini tamat. datuk mirza amat diperlukan di tourism malaysia pada masa sekarang