Friday, February 10, 2012

CUEPACS SARAN PEREKA DAN JURUFOTO KERAJAAN TUBUH KESATUAN

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Jumaat menyaran agar pereka dan jurufoto yang berkhidmat dalam kerajaan dan agensi di bawahnya supaya menubuhkan kesatuan agar nasib mereka lebih terbela di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Saranan itu dibuat oleh Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman yang berkata beliau mahu nasib pekerja bagi kedua-dua jawatan itu diperjuangkan memandangkan bidang pekerjaan dalam skim bakat dan seni seolah-olah dipinggirkan berbanding dengan jawatan lain.

"Hari ini kita lihat risiko kedua-dua jawatan ini sudah berbeza dan skim mereka perlu disemak semula. Gred mereka perlu dikaji semula supaya setanding dengan gred lain kerana ramai yang menyambung pengajian di peringkat ijazah dan diploma tetapi gred mereka tidak sesuai dengan kelayakan merela," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 500 pereka dan jurufoto yang berkhidmat dengan kerajaan. di sini hari ini.

Sehubungan itu Omar meminta satu kertas kerja disediakan secepat mungkin bagi cadangan penambahbaikan skim perkhidmatan tersebut supaya Cuepacs seterusnya dapat membawa perkara itu dalam mesyuarat kedua pasukan petugas khas semakan semula SBPA Rabu ini.

Dalam pada itu, beliau mahu tiga lagi pemimpin kanan Cuepacs yang telah mendapat persetujuan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menganggotai pasukan petugas khas supaya dijemput secara rasmi dalam mesyuarat akan datang.

Katanya Timbalan Presiden 1 Cuepacs, Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan, Jaafar Mansor masih belum menerima surat pelantikan.

"Jika tiada surat pelantikan ini, saya akan pergi mesyuarat dan melapor diri kemudian saya akan tarik diri daripada jawatankuasa pasukan petugas khas berkenaan," katanya.

Sementara itu Omar berkata keputusan Cuepacs menubuhkan Jawatankuasa Bertindak SBPA untuk menyediakan kertas kerja yang komprehensif ke arah penambahbaikan skim itu, bukan bermaksud pihaknya tidak yakin dengan pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang ditubuhkan kerajaan.

"Cuepacs bukan tidak percaya dengan jawatankuasa petugas khas ini. Cuma kita mahu lebih cepat bertindak dengan membuat kertas kerja dan menghantar kepada Perdana Menteri terlebih dahulu untuk menyelesaikan lima perkara asas yang dituntut Cuepacs dalam SBPA sebelum ini," katanya.

Lima tuntutan Cuepacs itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Dalam perkembangan lain, Cuepacs meminta campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pekerja kontrak dalam kerajaan dapat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin atau dalam tahun ini selaras dengan SBPA.

Omar berkata beliau menerima banyak aduan daripada penjawat awam termasuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang merayu supaya masalah yang membelenggu mereka sejak sekian lama dapat diselesaikan.

"Mereka sekarang dalam keadaan dilema dan sering menelefon saya. Kita harap perkara ini mendapat perhatian Datuk Seri Najib kerana hanya beliau yang boleh membantu," katanya.

No comments: