Sunday, February 26, 2012

Masalah tempat letak kereta penjawat awam ke Kabinet

PUTRAJAYA 26 Feb. — Masalah ketiadaan tempat letak kereta di kalangan penjawat awam gred 54 ke bawah di kompleks kerajaan di sini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perkara itu juga akan dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Bercakap kepada pemberita selepas program tinjauan mesra dan majlis mesra rakyat di Presint 8 di sini hari ini, Nong Chik berkata, kebanyakan penjawat awam menggunakan kereta berbanding pengangkutan awam ke pejabat.

Keadaan itu sekali gus menyumbang kepada masalah kesesakan jalan raya dan kekurangan tempat letak kereta di kompleks-kompleks kerajaan, katanya.

Sehubungan itu, Nong Chik sekali lagi menyarankan penjawat awam menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan Perbadanan Putrajaya untuk ke pejabat, sekali gus menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan Putrajaya sebagai bandar hijau. 

-Bernama/maa.

No comments: