Monday, February 6, 2012

Kesatuan dalaman Maybank mahu runding terus

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Kesatuan Pekerja Bukan Eksekutif Maybank (Mayneu) iaitu sebuah kesatuan dalaman Kumpulan Malayan Banking Bhd. (Maybank) kini optimis dalam memperjuangkan kebajikan pekerja bank berkenaan berikutan pembebasannya daripada penggantungan baru-baru ini.

Pengerusinya, Wan Nazrul Wan Nawi berkata, pihaknya yang kini mempunyai 1,970 ahli sedang berusaha menambah jumlah keanggotaan melebihi 3,000 orang bagi membolehkan kesatuan itu mendapat pengiktirafan serta berunding secara terus dengan pihak pengurusan bank.

"Mayneu telah mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pekerja bukan eksekutif Maybank iaitu dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini seramai 490 kakitangan menjadi ahli.

"Selepas penggantungan terhadap pendaftaran kesatuan ditarik balik oleh Mahkamah Rayuan pada 12 Januari lalu, kami telah meneruskan usaha merekrut 7,000 ahli dan merangka perjanjian sulung bersama pihak pengurusan bank berhubung kepentingan pekerja secara amnya.

"Penubuhan ini bukan sahaja menjamin kebajikan ahli kami, malahan memastikan kemakmuran bank terus meningkat di samping menaikkan nama negara di persada dunia," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kesatuan yang ditubuhkan pada 16 Oktober 2010 itu sebelum ini dibantah oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang menganggapnya tidak sah dan tidak perlu memandangkan NUBE telah mewakili pekerja-pekerja semua bank di negara ini sejak 1958.

Berikutan itu, NUBE membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi tahun lalu bagi membatalkan pendaftaran Mayneu di bawah Akta Kesatuan Kerja 1959. Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan tersebut atas kegagalan NUBE memfailkan Borang 111B dalam masa 14 hari.

Pada 12 Januari lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan NUBE dan menarik balik penggantungan terhadap Mayneu yang membolehkan kesatuan dalaman Maybank itu beroperasi seperti sedia kala dan meneruskan agendanya.

Mengulas lanjut, Wan Nazrul berkata, Maybank merupakan antara institusi perbankan terbesar di negara ini, maka adalah tidak adil bagi pekerjanya berkongsi perjanjian dengan bank yang lebih kecil.

"Maybank juga memperoleh pendapatan yang lebih besar daripada bank kecil lain hasil usaha pekerja. Oleh itu, tidak adil bagi kami mendapat nilai faedah yang sama dengan bank kecil lain," ujarnya.

-Utusan Online/maa.

No comments: