Tuesday, June 12, 2012

Perutusan Khas Yang Dipertua

Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM,
Semenanjung Malaysia

12 Jun 2012

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Sepertimana saudara/ saudari sekelian telah maklum melalui pemakluman yang terkini bahawa kelayakan permohonan kuarters kerajaan di Putrajaya telah dipanjangkan kepada semua penjawat agensi Badan Berkanun termasuk Tourism Malaysia.

Kesatuan mengucapkan syukur dan tahniah kepada Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Tourism Malaysia yang telah berusaha bersungguh-sungguh membantu kumpulan pekerja berkenaan isu tersebut. Selaku Yang Dipertua, saya sangat berbangga dan gembira dengan keputusan ini kerana bukan sahaja membantu Tourism Malaysia malah ianya telah membantu semua warga Agensi Badan Berkanun di Malaysia. Mari kita menadah tangan pada hari ini memanjatkan syukur kepada Allah SWT dengan limpah kurniaNya dapatlah membantu meringankan sedikit beban kita semua.

Kesatuan dengan ini menggesa semua terutamanya Ahli Kesatuan untuk mengambil tindakan segera dengan membuat permohonan bagi mendapatkan kuarters tersebut. Sokongan dan maklumbalas tuan/puan selama ini telah memberi hasil yang lumayan. Semoga kerjasama dan sokongan tuan/puan kepada Kesatuan akan berterusan. Secara peribadi, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan tuan/ puan sekelian.

Pihak Kesatuan akan menghantar satu surat rasmi kepada pihak yang berwajib menyatakan rasa syukur dan terima kasih bagi pihak warga Tourism Malaysia seluruhnya. Kesatuan menggesa kepada semua untuk terus komited dengan kerja dan tanggungjawab kepada organisasi dan Negara. Semoga keputusan berkenaan kuarters ini akan menambah motivasi dan kesetiaan tuan/ puan terhadap organisasi dan kerajaan Malaysia khususnya.

Sekali lagi Kesatuan mengucapkan tahniah kepada Tourism Malaysia kerana telah membantu meringankan beban kumpulan pekerja, amnya, dan Ahli Kesatuan, khususnya. Semoga usaha menjaga kebajikan kumpulan pekerja akan terus menjadi agenda utama pihak Pengurusan Tertinggi Tourism Malaysia dan kami terima ia sebagai hadiah ulangtahun Tourism Malaysia ke-40. Semoga selamat hingga ke akhir hayat.

Sekian, Terima Kasih

(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)

Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia
-maa.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah juga patut di berikan kepada Kesatuan Pekerja-pekerja LPPM dalam membuat permintaan kepada KSN semasa lawatan beliau ke KPL. Terima kasih kepada semua pegawai tertinggi Kesatuan...