Tuesday, June 19, 2012

Penjawat Awam Perlu Ketepikan Pendirian Politik

KOTA KINABALU – Penjawat awam negeri ini diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan profesional tanpa dipengaruhi oleh pendirian politik mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, penjawat awam tidak boleh memihak atau simpati kepada perjuangan parti tertentu dalam soal kerja.

“Ingatan ini dibuat kerana sejak akhir-akhir ini terdapat rungutan orang awam terhadap sikap sesetengah penjawat awam yang cuba berjinak-jinak dengan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyampaian Sijil MS ISO 9001:2008 2012 kementerian itu di sini hari ini.

Yahya seterusnya berkata, beliau percaya setiap penjawat awam di negeri pmempunyai pendirian politik masing-masing.

Jelas beliau, pendirian itu akan membuat penjawat awam terbabit memihak atau bersimpati kepada perjuangan parti-parti politik tertentu.

Walau demikian, kata beliau, penjawat awam perlu professional semasa melaksanakan tugas tanpa mengambil kira pendirian politik mereka.

Tegas beliau, profesionalisme di kalangan penjawat awam amat penting dalam memastikan jentera kerajaan dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

No comments: