Friday, November 9, 2012

Batal Kenaikan Pangkat Kakitangan Awam Disiasat SPRM - SPA

PUTRAJAYA: Penjawat awam yang dinaikkan pangkat namun disiasat dan dilabel dengan 'bendera merah' oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dibatalkan kenaikan pangkat mereka.


Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata mereka yang dilantik ke jawatan baru atau disahkan perkhidmatan turut akan menerima nasib yang sama.

"Kita boleh batalkan pelantikan atau pengesahan jawatan bagi mereka yang dilabel dengan 'bendera merah'," katanya kepada The Star.

'Bendera merah' adalah istilah bagi penjawat awam yang sedang atau telah disiasat serta gagal ujian tapisan integriti SPRM.

Selain itu Mahmood berkata, selain membatalkan pelantikan pegawai 'bendera merah', SPA juga boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap golongn ini.

"Bagaimanapun kes begini jarang berlaku kerana apabila nama mereka dihantar kepada kami, ia bermakna semunya telah memenuhi syarat.

"Pegawai atasan mereka pastinya sudah memastikan semuanya ok sebelum membuat syor itu kerana mereka sedar bahawa mereka akan mencemarkan integriti dan reputasi jabatan berkenaan jika mereka mengesyorkan seseorang dengan kes untuk disiasat," katanya.

Mahmood yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata ketua-ketua jabatan bertanggungjawab untuk memastikan pegawai yang diyorkan untuk pengesahan jawatan atau kenaikan pangkat adalah bersih.

Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan enam fungsi utama SPA, yang berkaitan dengan pengesahan pelantikan, perkhidmatan, pemberian ke status kekal dan pencen, promosi pemindahan, dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas kakitangan kerajaan.

Tapisan integriti adalah wajib bagi kakitangan kerajaan, terutama pegawai yang disyorkan untuk kenaikan pangkant.

Sekiranya didapati mempunyai 'kes' mereka tidak akan mendapat syor SPRM.

Sebelum ini dilaporkan terdapat sebilangan penjawat awam yang disiasat kerana rasuah oleh SPRM masih berada dalam perkhidmatan, malah ada yang dinaikkan pangkat atau dilantik ke jawatan baru.

SPRM tidak dapat mendakwa mereka dengan rasuah atas sebab-sebab seperti kelemahan teknikal, dan sebaliknya hanya boleh mengesyorkan kepada ketua jabatan mereka bahawa tindakan disiplin diambil.
-mStarOnline/maa.

No comments: