Saturday, November 24, 2012

Tiada kompromi penjawat awam bocor rahsia

PUTRAJAYA 22 Nov. - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang membocorkan rahsia rasmi di agensi masing-masing.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, perbuatan tidak bermoral seperti ketidakpatuhan, kecuaian, kelalaian penjawat awam adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

"Semua ketua jabatan dan pegawai keselamatan jabatan diingatkan supaya bertindak lebih tegas dalam memberi teguran atau amaran.

"Tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 atau Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) hendaklah diambil ke atas mereka yang membocorkan rahsia kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan 2012 di sini hari ini.

Konvensyen bertema 'Mentransformasikan Keselamatan Perlindungan Seiring Transformasi Perkhidmatan Awam' itu merupakan acara tahunan yang bertujuan memberi peluang dan ruang kepada penjawat awam menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman terkini berhubung isu-isu keselamatan perlindungan semasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Othman Mahmood dan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan JPM, Datuk Johari Jamaluddin.

Menurut Ali, sebarang undang- undang, peraturan, arahan atau prosedur yang berkuat kuasa mesti dipatuhi kerana jika tidak, banyak pihak akan mengambil kesempatan sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

"Ini meliputi kegiatan memalsukan dokumen, membocorkan maklumat serta menyebarkan maklumat sulit dan sensitif kepada pihak lain.

"Justeru jika tidak diberi perhatian dan tindakan pengawalan di peringkat awal akan berkesudahan dengan pendedahan kepada pihak lain," katanya.

Beliau berkata, kesedaran dan pemahaman terhadap kepentingan keselamatan perlindungan patut dijadikan amalan dalam menjalankan tugas-tugas seharian.
Katanya, transformasi juga perlu bagi memastikan semua aspek keselamatan dijaga dan dijadikan amalan harian, demi menjamin kerahsiaan dan aset kerajaan terpelihara.

Menurutnya lagi, kerajaan turut memperkenalkan Anugerah Pengurusan Keselamatan Perlindungan 2012 bagi memantapkan pengurusan keselamatan perlindungan di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Bermula tahun depan, katanya, kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas tahunan kepada mana-mana kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang mengamalkan Pengurusan Keselamatan dan Perlindungan yang terbaik sepanjang tahun.
-utusan/maa.

No comments: