Tuesday, November 13, 2012

Diperluas ke semua kementerian mulai Januari


PUTRAJAYA 12 Nov. - Perkhidmatan Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) yang pada masa ini meliputi 21 agensi Kerajaan Persekutuan dijangka diperluas ke semua kementerian pada Januari tahun depan.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal berkata, lebih banyak agensi kerajaan juga dijangka diliputi 1MOCC secara berperingkat selepas itu.

Beliau berkata, penubuhan pusat panggilan itu tidak melibatkan pengambilan pekerja luar tetapi cuma memindah dan melatih semula pegawai perkhidmatan pelanggan daripada agensi dan kementerian.

"Setakat ini seramai 36 pegawai berkhidmat di 1MOCC yang beroperasi 24 jam setiap hari.
"Sekiranya ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, kita akan menghubungi agensi berkenaan dan memberi maklum balas secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran 1MOCC yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Buat permulaan, perkhidmatan 1MOCC meliputi Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Perbadanan Putrajaya serta 17 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk Biro Pengaduan Awam, Unit Perancang Ekonomi dan Majlis Keselamatan Negara.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dalam ucapannya berkata, penjawat awam tidak harus melihat tugas mengumpul dan menyalur maklumat kepada rakyat sebagai tanggungjawab pegawai khidmat pelanggan semata-mata.

"Setiap penjawat awam sama ada daripada pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional mahupun kumpulan sokongan bertanggungjawab memastikan imej dan kewibawaan perkhidmatan awam negara sentiasa dipelihara dan dimartabat dalam sanubari rakyat.

"Berilah perkhidmatan dengan sepenuh jiwa dan raga kerana jatuh bangun, maju mundur dan hina mulia perkhidmatan awam terletak di bahu kita," katanya.

Katanya, penjawat awam perlu mengangkat kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi dalam pentadbiran negara.
-utusan/maa.

No comments: