Wednesday, January 23, 2013

Peluang kenaikan 2-5% penjawat awam gaji statik


PUTRAJAYA 22 Jan. - Penjawat awam yang mengalami gaji statik sebelum ini, dijangka menikmati kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus selepas kerajaan mengumumkan maklumat terperinci mengenai perkara itu bulan depan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, unjuran kenaikan sebanyak dua hingga lima peratus itu bagaimanapun masih bergantung kepada kajian teliti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selain mengambil kira beban kewangan yang perlu dipikul kerajaan.

‘‘Saya telah meminta JPA untuk melihat keadaan penjawat yang sampai gaji maksimum. Jika prestasi mereka cemerlang iaitu mencapai 80 peratus ke atas, saya tidak mahu mereka mengalami keadaan gaji statik walaupun bekerja dengan cemerlang.

‘‘Mereka mungkin mengalami kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus bergantung kepada kajian JPA yang akan diumum menjelang Februari ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baru kepada penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Selain 4,000 kakitangan sektor awam yang hadir di PICC, amanat Ali turut disiar secara dalam talian melalui Internet kepada penjawat awam yang bertugas di seluruh negara dan luar negara.

Ali berkata, kenaikan gaji untuk penjawat awam yang mencapai tangga gaji maksimum adalah selari dengan penyelarasan pencen sebanyak dua peratus setahun yang bertujuan menyeimbang pendapatan dengan keadaan inflasi.

‘‘Kita sekarang mahu melihat rekod perkhidmatan setiap orang (dalam gaji maksimum) dan hasilnya dijangka diketahui pada Februari, kita berharap kadar peningkatan itu sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah inflasi," katanya.
-utusan/maa.

No comments: