Thursday, January 31, 2013

Masalah 50,000 kakitangan kontrak ditangani


PUTRAJAYA 30 Jan. - Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani masalah kira-kira 50,000 penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan kerajaan mulai bulan depan.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, usaha itu perlu kerana hanya tiga jabatan itu mempunyai pegawai dan kakitangan kontrak bagi tempoh perkhidmatan sehingga tiga tahun berbanding jabatan lain yang berstatus sambilan atau sementara.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Tiga jabatan tersebut, katanya, adalah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Penerangan.

"Ada dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun, gaji permulaan yang rendah, tidak memahami skop tugas dan lain-lain berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 120 wakil penjawat awam berstatus kontrak di bawah JPNIN di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan.

Mahmood berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penjawat awam terbabit sebelum dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

Malah, beliau menambah, jawatankuasa itu juga berperanan mengumpul data berkenaan jumlah sebenar penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan itu.

"Maklumat sedemikian perlu bagi memudahkan perancangan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh penjawat awam tersebut," katanya.
-utusan/maa.

No comments: