Sunday, January 20, 2013

Promosi Tahun Melawat Malaysia misi nasional


Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor bersalaman dengan orang ramai sewaktu hadir melancarkan Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - MINGGUANN/ IZHAM JAAFAR

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 perlu dijadikan misi nasional bagi mencapai sasaran kedatangan pelancong sebanyak 28 juta orang tahun depan.

Menurut Perdana Menteri, semua pihak iaitu di peringkat Kementerian Pelancongan, agensi dan kerajaan negeri perlu memberi sokongan penuh supaya promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 itu mencapai kejayaan sepenuhnya.

"Kita semua ada peranan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014. Dari pintu masuk Malaysia, para pegawai imigresen, kastam, pemandu teksi, pekerja hotel, mereka yang berniaga, pengusaha pelancong hatta rakyat Malaysia.

"Kita semua mesti tunjukkan sikap mesra pelancong. Kita mesti pamerkan sikap yakni berikan mereka satu perasaan jika mereka melawat Malaysia, mereka akan diterima dengan layanan cukup mesra dan sopan oleh kita semua," katanya.

Beliau berucap merasmikan Pelancaran Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurut Najib, Malaysia kini bukan sahaja memerlukan infrastruktur secara fizikal tetapi memerlukan kemahiran daripada rakyat sendiri iaitu yang sentiasa senyum, ceria, sopan dan mahu membantu pelancong asing.

Katanya, perkara itu bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berada di negara ini.

"Kita boleh buat iklan dan promosi tetapi iklan yang paling berkesan ialah apabila pelancong balik ke negara asal, mereka akan kata pengalaman di negara ini sukar dilupakan," katanya.

Najib berkata, Malaysia mempunyai segala-galanya yang sukar ditandingi negara lain dan pakej itu menjadikan negara ini sebagai destinasi cukup menarik untuk pelancong dunia.
Menurutnya, sasaran kedatangan pelancong sebanyak 36 juta orang menjelang 2020 juga dapat dicapai sekiranya semua pihak memberikan tumpuan jitu terhadap bidang pelancongan.

Tambah beliau, Malaysia telah menerima pelbagai pengiktirafan dunia tahun lalu dan perkara itu menunjukkan dasar transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan membuahkan hasil.
-utusan/maa.

No comments: