Monday, February 4, 2013

25 juta pelancong asing belanja RM60.6 bilion


BALIK PULAU 3 Feb. - Seramai 25 juta pelancong asing telah melawat negara ini sepanjang tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 318,384 orang atau 1.3 peratus berbanding 24.7 juta orang pada 2011.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, kehadiran jumlah tersebut turut meningkatkan pendapatan negara sebanyak RM60.6 bilion.

Menurutnya, pendapatan daripada pelancong asing itu merupakan pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus atau RM2.3 bilion berbanding RM58.3 bilion pada tahun sebelumnya.

"Saya amat gembira kerana industri pelancongan secara berterusan menunjukkan peningkatan saban tahun.

"Saya percaya semua ini dapat dicapai hasil sokongan padu kerajaan yang mengiktiraf sektor pelancongan sebagai pemacu penting ekonomi negara," katanya selepas majlis pelancaran program My Beautiful Malaysia peringkat negeri di Dataran Taman Negara, Teluk Bahang, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Yen Yen berkata, bagi pasaran negara serantau, jumlah kedatangan pelancong dari Filipina menunjukkan peningkatan 40.5 peratus diikuti Laos (30 peratus), Vietnam (21.4), Indonesia (11.6), Myanmar (1.9), Brunei (1.5) dan Kemboja (1.4).

Dari luar ASEAN pula, katanya, Iraq mencatat kenaikan 61.7 peratus diikuti Nepal (50.6 peratus), China (24.6), Jepun (21.5), Arab Saudi (16.7), Oman (13.2), Pakistan (9.5), Korea Selatan (7.8), Sri Lanka (7.3) dan Taiwan (3.7).

Beliau menambah, pihaknya meletakkan sasaran kedatangan pelancong asing untuk tahun ini sebanyak 26 juta orang dan 28 juta orang tahun hadapan.

Beliau percaya sasaran itu boleh dicapai hasil penambahbaikan yang dibuat oleh kerajaan seperti proses menunggu giliran dan semakan oleh Jabatan Imigresen yang lebih pantas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Selain itu, penambahan jumlah penerbangan terus oleh syarikat penerbangan antarabangsa juga akan membantu menarik lebih ramai pelancong dari luar," katanya.
-utusan/maa.

No comments: