Friday, February 22, 2013

CUEPACS syor kadar faedah rumah diturun


PULAU PINANG 19 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan untuk kakitangan awam daripada empat peratus kepada satu peratus.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kadar empat peratus itu membebankan khususnya bagi penjawat awam gred rendah yang menikmati gaji di bawah RM2,000 sebulan.

"Bayangkan dengan gaji sebanyak itu dan terpaksa pula membayar faedah empat peratus untuk perumahan, kadar tersebut membebankan kerana perbelanjaan lain juga meningkat.

"Tambahan pula, ketika ini harga rumah semakin mahal kerana kebanyakannya dijual antara RM150,000 dan RM400,000," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Balai Bomba Bayan Baru, di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian penurunan kadar faedah itu perlu dilakukan supaya penjawat awam daripada pelbagai gred berjumlah 1.4 juta orang akan menerima manfaatnya.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi elaun perumahan RM450 selama ini. Namun sudah sampai masanya kadar faedah itu dikaji semula kerana sudah hampir 30 tahun tidak dikaji semula.

"Jika faedah pinjaman perumahan tidak dikaji, cadangan CUEPACS ialah harga rumah diturunkan lagi," katanya.

Dalam pada itu, CUEPACS turut meminta kerajaan mengkaji pembayaran elaun terhadap anggota bomba yang menjadi pemandu kenderaan jabatan berkenaan.

"Ketika ini, pemandu kenderaan bomba terdiri daripada pegawai bahagian lain yang terpaksa melakukan tugas berkenaan kerana jawatan itu tidak wujud, jadi wajarlah jika mereka dibayar elaun khas kerana tugas tersebut juga berisiko tinggi," katanya.
-utusan/maa.

No comments: