Friday, February 1, 2013

Serap 50,000 kakitangan kontrak

PUTRAJAYA 31 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji kedudukan kira-kira 50,000 kakitangan awam kontrak sebaliknya menggesa kumpulan tersebut diserap terus ke jawatan tetap di pelbagai jabatan kerajaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu merupakan jalan penyelesaian yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi bagi menyelesaikan masalah kakitangan kontrak.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas tidak akan dapat dapat menyelesaikan dilema kakitangan kontrak yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

"Menjelang 2020 ini sepatutnya sudah tidak ada lagi perkataan kajian, apa yang penting adalah membuat lantikan tetap terhadap pekerja kontrak sedia ada.

"Ada di antaranya merupakan lantikan SPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak berkuasa tempatan tempatan (PBT) dan pelbagai jabatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Bersama Wakil Jabatan dan CUEPACS negeri-negeri Kesatuan Pembantu Am Pejabat Semenanjung Malaysia (KPAP), di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan SPA untuk mewujudkan jawatankuasa khas menangani masalah hampir 50,000 kakitangan kontrak dalam perkhidmatan awam.

Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk JPA dan Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut Omar berkata, kakitangan kontrak perlu diberi peluang ke jawatan tetap kerana ada di antara mereka sudah berkhidmat lebih 50 tahun.

"Mereka perlu diberikan peluang yang sama seperti kakitangan tetap.

"Apa yang nak dikaji lagi, apa yang penting sekarang ini wujudkan jawatan dan tetapkan jawatan mereka," katanya.
-utusan/maa.

No comments: