Perdana Menteri berkata, kebajikan 750,000 orang pesara di seluruh negara akan lebih tersusun dalam sebuah organisasi khusus dan dapat dibantu dengan sewajarnya oleh kerajaan.

“Yayasan ini juga boleh diajak berunding dan sama-sama merumuskan sesuatu perkara supaya soal kebajikan pesara kerajaan dapat dipertimbangkan oleh kerajaan mengikut kemampuan kita,” kata­nya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan me­rasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keempat Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat dan Ke­tua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Menurut Perdana Menteri, pelbagai isu lain berkaitan kebajikan pesara kerajaan boleh disampaikan kepada kerajaan antaranya berhubung isu perumahan dan per­khidmatan kesihatan dengan lebih mudah.

Dalam pada itu, Najib berkata, sebagai permulaan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti dan program untuk pesara kerajaan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan awam semakin baik malah, jumlah yang memohon bagi setiap kekosongan jawatan mendapat permintaan berlipat kali ganda berikutan skim pencen yang diamalkan di negara ini.

“Bagi pengambilan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sahaja saya diberitahu untuk 300 kekoso­ngan jawatan, jumlah yang memohon lebih 100,000 tetapi yang layak hanya 70,000 orang malah, ada dalam kalangan mereka berkhidmat dalam sektor swasta tetapi mahu berkhidmat dalam kerajaan sebagai PTD.


“Kalau skim kita tidak baik, saya tidak fikir jumlah yang memohon begitu banyak untuk menjadi PTD dan penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia ada juga akan bertambah lebih kuat sekira­nya semua pesara kerajaan dan penjawat awam yang berjumlah lebih 2.3 juta orang memberi soko­ngan penuh kepada pentadbirannya.

Pada masa sama, katanya, jumlah yang besar itu juga boleh menentukan hala tuju negara.
-Utusan Online.