Sunday, April 12, 2015

Syor KWSP tidak rasional – CUEPACS


Bekas Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman (kanan) Presiden CUEPACS yang Baru, Azih Muda (tengah) dan Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Zainal Ismail mengankat tangan selepas keputusan pemilihan pada Majlis Konvensyen Tritahunan CUEPACS ke-26 di Menara PGRM, di sini hari ini.Gambar : Riduan Rizal AhmadPemberita : Saifulizam / Zul Mansor

KUALA LUMPUR 11 April - Cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun adalah tidak rasional kerana perkara itu melibatkan hak pekerja.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Zainal Ismail berkata, perkara itu juga perlu dibincangkan bersama pihak-pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, tempoh pengeluaran tersebut adalah tidak relevan memandangkan pada usia itu kebanyakan pekerja memerlukan wang untuk pelbagai rancangan seperti menampung kos perubatan dan sara hidup.


Semalam, ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, cadangan itu dibuat kerana kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.

“Dalam isu ini, KWSP tidak berhak menentukan keputusan kerana ia melibatkan hak ahli mereka,” katanya yang dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

“Kita perlu meneliti daripada segala aspek. Bagaimana jika seseorang pekerja bersara awal dan ingin menggunakan wang simpanan KWSP mereka. Adakah mereka harus menunggu sehingga berusia 60 tahun,” katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, KWSP perlu meneliti cadangan tersebut secara terperinci dengan mengambil kira implikasi sekiranya pekerja ingin bersara awal.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Kishnam berkata, cadangan tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan kepada pencarum.
Beliau turut mencadangkan pengeluaran wang caruman KWSP sebagai satu pilihan sama ada pada usia 55 tahun atau 60 tahun, bukannya ditetapkan umur mandatori.
“Mana-mana ahli KWSP yang ingin kekal dan mengeluarkan wang simpanan mereka pada usia 60 tahun adalah terpulang kepada mereka namun KWSP tidak harus menghalang pencarum yang mahu mengeluarkan wang pada usia 55 tahun,” katanya.
-Utusan.

No comments: