Sunday, May 24, 2015

5,000 Penjawat Awam Di Bawah Prestasi Sebenar - Ali Hamsa

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kira- kira 5,000 daripada 1.6 juta penjawat awam dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60 peratus sejak dasar pemisah (exit policy) diperkenalkan pada tahun lepas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas selama 200 hari setahun dan mempunyai komitmen luar tugas.

"Kita tidak terus buang mereka. Kita akan bagi latihan, kursus, pemantauan dan pemerhatian dalam tempoh enam bulan sebelum mereka diberi pilihan untuk berhenti," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian sambutan Hari Terbuka NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari Sabtu.

Menurutnya, selain diberi latihan, penjawat awam terbabit juga boleh ditukarkan jabatan atau portfolio masing-masing bagi meningkatkan dan menambah baik prestasi mereka.

Ali berkata dasar pemisah itu juga disambut baik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) demi penambahbaikan perkhidmatan awam ketika ini dan di masa hadapan.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) yang dibentangkan Najib di Dewan Rakyat Khamis lepas, kerajaan bakal memperkenalkan dasar pemisah bagi personel berprestasi rendah selain merasionalisasi sektor awam dan mewajarkan saiz perkhidmatan.

Langkah itu bertujuan menjadikan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat yang disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan hirarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja serta perkhidmatan yang lebih mudah dicapai, cekap dan berkesan untuk rakyat.

-Bernama.

No comments: