Thursday, May 21, 2015

Penjawat Awam Dipelawa Lanjut Pelajaran Di UniSZA Secara Percuma

KUALA NERUS, 20 Mei (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuka peluang kepada penjawat awam seperti pegawai tadbir, guru dan anggota kerajaan yang lain menyambung pelajaran secara percuma di universiti itu.

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim berkata mereka yang berminat bolehlah datang ke UniSZA pada bila-bila masa dengan yuran pengajian mereka akan ditanggung My-Brain 15, satu tabung atau dana bagi menanggung yuran pengajian penjawat awam menyambung pelajaran di situ.

"Ini merupakan peluang yang sangat baik untuk mereka melanjutkan pelajaran," katanya ketika ditemui pada program Kolokium Transformasi Integriti Penjawat Awam yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Samiun Salleh di sini hari ini.

Yahaya berkata dalam tempoh dua minggu kempen melanjutkan pelajaran di universiti itu diadakan, 100 orang penjawat awam telah datang mendaftar dan beliau yakin selepas tamat kempen itu, UniSZA mampu memperoleh lebih 200 pelajar daripada kalangan penjawat awam.

Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata UniSZA sedang mengambil langkah mengadakan kerjasama dengan universiti di beberapa negara termasuk China dan Indonesia terutama Aceh.

Beliau berkata UniSZA juga mengintai peluang di beberapa tempat lain sperti di Afrika, Tanzania dan Maldives untuk turut mengadakan kerjasama.

"Kami akan ke Maldives dalam masa terdekat untuk menandatangani perjanjian persefahaman dengan institusi pengajian tinggi di negara berkenaan dan membuka cawangan UniSZA di sana," katanya.
-Bernama.

No comments: