Saturday, May 9, 2015

Pembekuan Jawatan Baharu Langkah Rasionalisasi Perkhidmatan Awam - JPA

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Pembekuan pewujudan jawatan baharu merupakan langkah pengawalan saiz perkhidmatan awam yang diperkenalkan kali ini, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam kenyataan hari ini berkata pengisian kekosongan jawatan berikutan persaraan, peletakan jawatan, pertukaran, kematian dan penamatan perkhidmatan masih boleh dilaksanakan seperti biasa.

Menurut kenyataan itu, jumlah penjawat awam sehingga 31 Dis tahun lepas ialah sebanyak 1.61 juta, yang memperlihatkan kedinamikan sektor awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Perkhidmatan awam Malaysia merangkumi keseluruhan perkhidmatan termasuk tentera dan polis.

Menurut JPA, pendekatan rasionalisasi perkhidmatan awam pernah dilaksanakan pada 2008, 2010 dan 2011.

"Usaha rasionalisasi ini berpaksikan kepada produktiviti dan penggunaan sumber manusia secara optimum," kata kenyataan itu.

JPA berkata pembekuan pewujudan perjawatan baharu dalam perkhidmatan awam akan diimbangi dengan usaha menambahkan peluang pekerjaan di sektor swasta.

Menurut kenyataan itu, sepertimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 28 April lepas, sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2020.

"Usaha merasionalisasikan perkhidmatan awam merupakan langkah terbaik kerajaan dalam mendepani realiti pada masa kini bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," kata kenyataan JPA itu.

-Bernama.

No comments: