Thursday, December 3, 2015

Penjawat Awam Laksana Program Pembangunan Kerajaan Tanpa Salah Laku

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Penjawat awam secara keseluruhannya dapat melaksanakan semua program pembangunan dan perolehan kerajaan dengan menepati prosedur ditetapkan serta bebas daripada penyelewangan salah laku, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ia dirumuskan melalui Siri 1 hingga Siri 3 Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 dan daripada 1,662 teguran, hanya 2.9 peratus atau 49 teguran merupakan teguran punitif manakala baki 97.1 peratus atau 1,613 lagi berbentuk teguran pembetulan, katanya.

"Walaupun hanya 2.9 peratus merupakan teguran punitif, kerajaan tetap mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penyelewengan dan salah laku," katanya pada sesi bersama media berhubung tindakan susulan LKAN Tahun 2014 Siri 3 di sini Rabu.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun persekutuan.

Terdapat dua bentuk teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara iaitu 'teguran punitif' yang melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas dan teguran pembetulan yang melibatkan penambahbaikan sistem dan prosedur.

Dalam LKAN Tahun 2014 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen pada 23 Nov lalu, Ali berkata terdapat 708 teguran iaitu 26 teguran punitif, manakala 682 lagi merupakan teguran pembetulan.

Ali berkata daripada 26 teguran punitif itu, 12 adalah teguran melibatkan empat kementerian, badan berkanun Persekutuan (satu) dan kerajaan negeri (lima).

Teguran punitif melibatkan Kementerian Kerja Raya bagi Pengurusan Kerja Awalan Melalui Kontrak Kerja Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan mengenai Projek Menaik Taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor, katanya.

Teguran punitif lain melibatkan Kementerian Pendidikan iaitu berkaitan Pengurusan Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Kemudahan Lain Yang Berkaitan serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengenai Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli di Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Ali menegaskan kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan empat Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat 12 teguran punitif itu yang melibatkan semua kementerian berkenaan.

"Siasatan ini bertujuan untuk memperoleh keterangan yang relevan daripada aspek kesaksian dan keterlibatan pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan.

"Sekiranya wujud asas kukuh, bahawa pegawai didapati melakukan salah laku atau kecuaian, maka tindakan tatatertib, surcaj, atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap pegawai berkenaan," katanya.

Ali berkata siasatan jawatankuasa khas itu mendapati sembilan teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib yang melibatkan 24 pegawai.

Dua daripada sembilan teguran itu yang melibatkan kes Pengurusan Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Kementerian Pendidikan dan Projek Menaik Taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat di Kementerian Kesihatan juga telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan kerana disyaki ada unsur perlakuan rasuah, katanya.

Ali berkata tiga teguran didapati tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi sebaliknya memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa.

"Untuk tiga teguran ini, penelitian susulan telah dibuat bersama Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan, Penasihat Undang-Undang Jabatan Perkhidmatan Awam dan disahkan tiada kes terhadap teguran tersebut," katanya.

Menyentuh perbandingan LKAN 2014 dengan LKAN 2013, Ali berkata teguran punitif tahun lalu berkurangan sebanyak 51 peratus iaitu daripada 100 kepada 49 teguran.

"Saya percaya ini adalah hasil tindakan proaktif dan tegas yang diambil oleh kerajaan di samping program peningkatan kompetensi yang dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Menurut Ali antara langkah yang diambil termasuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan seawal peringkat 'Exit Conference' selain mengadakan 30 kursus melibatkan 816 pegawai setakat ini.

Tambahnya kerajaan telah memberi mandat kepada ketua-ketua Unit Audit Dalam di setiap kementerian untuk memaklumkan terus kepada Ketua Audit Negara sebarang dapatan agar isu-isu berkaitan salah guna kuasa atau rasuah dapat ditangani dengan berkesan.

Selain itu, kerajaan turut mengarahkan agar 40 peratus daripada keseluruhan aktiviti pengauditan tahunan yang dirancang supaya memberi fokus kepada aspek perolehan kerajaan, katanya.

-Bernama.

No comments: