Sunday, December 13, 2015

Penjawat Awam Perlu Terap Budaya 'Cari Dan Bantu' - KSN

KUALA SELANGOR, 13 Dis (Bernama) -- Penjawat awam perlu menerapkan budaya 'Cari dan Bantu' dalam menjayakan konsep merakyatkan perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata adalah tidak berguna sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tidak dapat disampaikan sepenuhnya kepada golongan sasar dan pelanggan kerana kekangan tertentu.

Beliau mengambil contoh bantuan untuk golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) tidak sampai kerana mereka tidak mempunyai pengangkutan untuk ke pejabat kerajaan atau tidak tahu cara untuk memohon.

"Oleh itu saya minta penjawat awam dari semua jabatan dan agensi kerajaan untuk turun padang, mencari dan membantu (search and serve) mereka ini," kata Ali kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa di Bestari Jaya, di sini Ahad.

Beliau menegaskan: "Tiada guna ada perkhidmatan jika penggunanya (rakyat) tidak tahu atau tidak sampai kepada golongan yang disasarkan, dan saya mahu konsep ini diterapkan dan dipraktikkan mulai tahun depan.

Kos pembinaan dewan serba guna bernilai RM3 juta itu disumbangkan Yayasan Rafulin dan Alumni Kohort 82-86 Sekolah Menengah Batang Berjuntai. Ia dijangka siap awal 2017.

Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Rafulin dan Pengerusi Rafulin Holding Datuk Mohd Razali Othman dan Pengarah Pendidikan Selangor Zainuren Mohd Nor.

Ali berharap lebih banyak yayasan dan syarikat swasta tampil membantu kerajaan menaik taraf sekolah di seluruh negara.

Pada majlis sama, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) menyerahkan bantuan kewangan RM57,800 kepada lima pelajar OKU, 73 pelajar miskin dan empat rumah kebajikan di daerah berkenaan.

-Bernama.

No comments: