Pengerusi Biro Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, saranan SPRM itu harus dilihat dari sudut positif kerana aktiviti itu bakal mengundang pelbagai persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Malah tegas beliau, biarpun biasanya ada perbincangan mengenai perniagaan atau pun membabitkan hubungan dua hala antara agensi kerajaan dengan wakil dari luar negara, masalah membabitkan persepsi rakyat tidak boleh diperlekehkan.

“Dari sudut undang-undang, memang kita tidak boleh menghalang mana-mana rakyat Malaysia untuk keluar negara bermain golf, namun saranan SPRM ini tidak boleh dipandang sepi demi menjamin integriti seseorang penjawat awam khususnya dan juga sesebuah badan kerajaan amnya.

“Jadi adalah penting untuk semua penjawat awam terutamanya mereka yang berjawatan tinggi melihat teguran ini demi kebaikan sekali gus menghindari tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, tambah Baljit, adalah penting untuk semua penjawat awam menjaga imej dan tahap integriti masing-masing demi mengelakkan timbulnya sebarang isu berbangkit dan memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu termasuk parti pembangkang untuk menyerang kerajaan.

Sementara itu, aktivis masya­rakat, Tan Sri Lee Lam Thye yang turut dihubungi menasihatkan semua penjawat awam khususnya pengurusan tertinggi sesebuah agensi kerajaan agar berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran ke luar negera termasuk jemputan untuk bermain golf.

“Kalau sekadar bermain golf di dalam negara tidak akan menimbulkan sebarang isu tetapi apabila perlu keluar dari sempadan Malaysia pelbagai pandangan akan timbul.

“Oleh itu adalah penting untuk penjawat awam sendiri berhati-hati dan tidak menerima sebarang tawaran ke luar negara dengan mudah bagi mengelakkan sebarang salah faham timbul dalam kalangan rakyat,” ujarnya.