Wednesday, December 9, 2009

Larangan Merokok DI Tempat Awam

Monday, 01 June 2009 01:06
KUALA LUMPUR: Cuepacs akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengeluarkan arahan melarang semua kakitangan awam merokok di tempat kerja masing-masing tidak kira dalam pejabat atau pekarangan jabatan.

Presidennya, Omar Osman, berkata surat pekeliling juga akan dikeluarkan kepada setiap kakitangan dalam masa terdekat, bagi mengingatkan mereka tindakan bakal diambil sekiranya ingkar terhadap arahan itu.

Beliau berkata, mana-mana kakitangan yang didapati merokok dalam premis tempat kerja masing-masing akan dipanggil ketua jabatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha itu bagi mendisiplinkan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam dan orang ramai supaya tidak merokok apabila berurusan dengan jabatan kerajaan.

“Jabatan kerajaan dilarang terus merokok, tidak kira kawasan lobi, kaunter, kawasan berhawa dingin dan pekarangan pejabat, lebih mudah untuk penguat kuasaan.

“Selama ini, jabatan kerajaan ada sediakan kawasan zon larangan merokok tetapi tidak dipatuhi kakitangan termasuk pegawai atasan yang merokok sesuka hati termasuk di biliknya sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.

“Kini Cuepacs cadang semua kawasan pejabat kerajaan diwarta zon larangan merokok dan akan bincang perkara ini dengan JPA dalam masa terdekat, serta buat pekeliling sebagai peringatan dan amaran, mana-mana kakitangan yang didapati merokok akan dipanggil peringkat jabatan... jadi kakitangan akan terikat sikit untuk merokok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan terbaru kerajaan untuk mewartakan dua lagi kawasan zon larangan merokok iaitu di tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa berpusat dan lobi hotel.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata cadangan itu yang akan diwartakan tidak lama lagi itu amat perlu bagi melindungi kepentingan kesihatan orang ramai terutama yang tidak merokok.

Sehingga kini, terdapat 22 zon larangan merokok termasuk kaki lima kompleks membeli-belah, restoran dan kafe terbuka di luar premis.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan menambah zon larangan merokok, pada masa sama mahu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu membanyakkan papan tanda larangan merokok di tempat awam serta mengadakan lebih banyak kempen larangan.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu kerajaan dengan membuat teguran terhadap mereka yang merokok di tempat awam,” katanya.

-----------------------
*** Pemergian sahabat kita Puan Junaida kerana kenser paru-paru perlulah membuka mida semua orang. Adakah kerana suratan atau sebenarnya perkara ini boleh dibendung. Mungkinkah persekitaran kerja yang sentiasa terdedah pada asap rokok yang menjadi punca. Hormatilah hak orang lain untuk mendapatkan udara segar dan jangan pentingkan diri sendiri.
http://tm-union.blogspot.com/2009/05/rokok-peraturan-cadangan-dan.html (artikel yg pernah dikeluarkan di dalam blog ini)

No comments: