Friday, October 12, 2012

Ambil tindakan tegas: KSN

Shah Alam: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang didapati menjadi tali barut membocorkan maklumat dan rahsia kerajaan. 

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata tindakan membocorkan rahsia adalah isu serius dan kerajaan tidak akan berkompromi jika benar ada penjawat awam yang sanggup menggadaikan integriti.


Kalau ada tali barut ini yang menyalahi integriti dan kita akan pastikan individu dikenal pasti menjadi tali barut itu dikenakan tindakan sewajarnya. 


Kita memang ada agensi yang bertanggungjawab, contohnya dari segi keselamatan, kita ada pejabat keselamatan kerajaan, dari segi rasuah kita ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Kakitangan Perkhidmatan Awam Persekutuan dan negeri Selangor di sini, semalam. 

Terdahulu beliau bersama pegawai kanan Kerajaan Persekutuan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini. 

Sebelum ini, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mendakwa dana asing melebihi RM100 juta yang diterima Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) digunakan untuk membiayai ceramah politik, demonstrasi memburukkan kerajaan dan menyogok penjawat awam bagi mendapatkan maklumat dan rahsia kerajaan.
 

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Sultan Selangor membangkitkan isu pertukaran Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Ali berkata, perkara itu tidak disentuh. 

Tak, tak bangkit isu itu..ada soalan lain. Isu pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya tidak dibangkitkan ketika menghadap Sultan Selangor pagi tadi (semalam). Saya pergi ke semua negeri dan menghadap Tuanku, katanya. 

Kerajaan PKR Selangor sebelum ini membekukan pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi membolehkan perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara itu.


-berita harian/maa.

No comments: