Tuesday, October 2, 2012

CUEPACS minta bonus sebulan dikecualikan cukai

PUTRAJAYA 1 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini memohon kerajaan mempertimbangkan supaya pembayaran bonus satu bulan gaji kepada penjawat awam dikecualikan cukai pendapatan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu bagi membolehkan penjawat awam yang menerima bonus membuat simpanan, memenuhi keperluan semasa keluarga atau menyelesaikan hutang.


''Ini adalah sejarah dalam perkhidmatan awam apabila kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan sebelum perayaan Aidilfitri lalu dan satu bulan lagi dibayar pada bulan Disember ini dan Januari depan.


''Kalau boleh bonus satu bulan itu, kami mohon dikecualikan cukai pendapatan dan ini tidak pernah dipohon tetapi kami harap dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada sesi pertemuan dan perbincangan di antara Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (Gakum) dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini.


Pemberian bonus satu bulan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2013 bertemakan Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.


Dalam pada itu, Omar berkata, CUEPACS turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan penjawat awam yang memohon untuk membeli rumah mampu milik yang diumumkan dalam Bajet 2013 itu dikecualikan daripada membayar deposit.


Beliau menambah, kerajaan juga perlu memastikan hanya penjawat awam yang tidak pernah memiliki rumah dibenarkan membeli rumah mampu milik itu.


''Kita mahu skim pinjaman perumahan itu seperti mana yang diamalkan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan Kementerian Kewangan selama ini.


''Walaupun mungkin kadar faedahnya bukan empat peratus tetapi apa yang kita bimbang apabila penjawat awam mahu beli rumah itu, mereka dikenakan bayaran deposit dan itu yang kita tidak mahu," katanya.


Sebanyak 123,000 unit rumah mampu milik yang dirancang pembinaannya tahun depan terletak di kawasan-kawasan strategik termasuk di Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang).

-utusan/maa.

No comments: