Sunday, October 7, 2012

Anggota CUEPACS bantah bank urus pinjaman perumahan

JERANTUT 6 Okt. - Rata-rata penjawat awam di seluruh negara membantah cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalinkan kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan kepada kakitangan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, beliau sendiri dihujani dengan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kakitangan awam yang mahu skim pinjaman tersebut tidak diserahkan kepada institusi kewangan.


"Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah memaklumkan terdapat empat bank komersial terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.


"Jadi mereka tidak bersetuju dengan cadangan ini dan meminta CUEPACS agar tampil menyuarakan luahan hati penjawat awam agar pinjaman perumahan diuruskan oleh kerajaan sepenuhnya," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Profesionalisme Keguruan Zon Timur sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) di Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut, di sini hari ini.


Hadir sama, Presiden KKGLMSM, Datuk Jamale Paiman; Timbalan Presiden KKGLMSM, Azmi Sujak dan Pengerusi Koperasi KKGLM (M) Berhad, Awang Mohmad.


Omar berkata, rata-rata penjawat awam yang menghubunginya berpendapat pelbagai masalah akan timbul sekiranya kerajaan menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan dalam menguruskan skim pinjaman perumahan.


"Mereka bimbang wujudnya masalah di kemudian hari seperti insurans pembeli, insurans pemaju, komisen dan prosedur bank serta bayaran pendahuluan 10 atau 20 peratus kepada bank," ujarnya.


Menurutnya, CUEPACS memandang serius perkara tersebut dan segala luahan penjawat awam akan dibincangkan dalam mesyuarat kesatuan itu bulan depan agar mereka yang terlibat dapat membeli rumah dengan mudah dan selamat.


"Saya tahu ramai penjawat awam bimbang dengan perkara ini kerana mereka takut dibebani dengan hutang dan timbul pula isu rumah terbengkalai sedangkan pembayaran telah dibuat kepada pihak bank," jelasnya.

-utusan/maa.

No comments: