Wednesday, May 1, 2013

Kesatuan sekerja mahu kerajaan terus laksana pelbagai inisiatif

Kuala Lumpur: Kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini berharap kerajaan akan terus mewujud dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin masa depan warga pekerja di Malaysia. 

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, beliau berharap inisiatif seperti semakan gred pekerja dan tangga gaji penjawat awam akan terus dilaksanakan tahun ini bagi menampung kos kehidupan yang kian meningkat.


Sempena Hari Pekerja hari ini, beliau berharap penjawat awam dan swasta akan terus berusaha meningkatkan produktiviti, sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin terhadap kebajikan pekerja. 
“CUEPACS juga menyeru penjawat awam supaya teruskan usaha untuk meningkatkan produktiviti seiring dengan hasrat kerajaan untuk menaiktaraf kehidupan seharian kita. 

“Kami juga menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan usaha-usaha yang diperkenalkan oleh beliau,” katanya di sini, semalam. 

Sejak mengambil alih tampuk kepemimpinan negara empat tahun lalu, Najib telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk golongan pekerja termasuk mewujudkan gaji minima serta melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun. 

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula mahu kerajaan menambah usaha membina lebih banyak rumah mampu milik untuk pekerja yang berpendapatan rendah. 
“Kami juga meminta kerajaan supaya mengadakan pengambilan dan pengurusan pekerja asing melalui cara kerajaan ke kerajaan,” kata Presidennya, Mohd Khalid Atan. 

Guru hargai BN 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan, berkata warga guru di Malaysia seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana memberi kenaikan gaji serta bonus. 

Beliau berkata, NUTP berharap kerajaan akan mempertimbang untuk menyerap penuh penjawat awam kontrak yang telah bertugas melebihi tiga tahun. 

“Ada kira-kira 40,000 hingga 50,000 penjawat awam kontrak di negara ini. Jika kerajaan dapat menyerap mereka, produktiviti akan pasti melonjak," katanya. 

Bagi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, mereka mahu diberi peluang mengikuti latihan untuk membolehkan mereka menjadi lebih produktif dan cekap menjalankan tugas yang diamanah. 

Presidennya, Mohammed Nazari Othman berkata sebagai sebahagian daripada modal insan dalam sebuah organisasi, mereka perlu diberi latihan bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran baharu seperti peluang yang dinikmati pekerja lain. 

“Dipercayai ramai pekerja OKU kurang diberi peluang untuk mengikuti latihan anjuran jabatan latihan dan sumber manusia di tempat kerja masing-masing, sedangkan mereka juga warga kerja dalam organisasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

-bernama/bh.

No comments: