Wednesday, May 1, 2013

Rumah PPA1M di Putrajaya akan ditambah

Kuala Lumpur: Perbadanan Putrajaya akan memohon pertambahan unit rumah di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berikutan sambutan menggalakkan daripada kakitangan awam. 

Pengerusinya, Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata, sejak PPA1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 18 April lalu, tidak kurang 500 borang permohonan diterima setiap hari

Aseh berkata, permohonan diterima daripada penjawat awam yang bekerja di Putrajaya, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Serdang dan Bangi. 

“Sehingga kini, kita sudah menerima 4,200 borang permohonan PPA1M-1 selain merekodkan 270,000 bilangan capaian oleh orang ramai yang mengunjungi portal perbadanan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Aseh berkata, pemohon masih boleh mendapatkan borang PPA1M-1 menerusi laman web www.ppj.gov.my dan www.putrajaya.gov.my atau datang ke Pusat Khidmat Pelanggan, Kompleks Perbadanan di Presint 3, Putrajaya termasuk pada Sabtu dan Ahad. 

Beliau berkata, proses pengundian bagi permohonan rumah PPA1M dijangka dibuat sebaik permohonan ditutup iaitu pada jam 5 petang, 18 Mei depan. 

PPA1M adalah inisiatif murni kerajaan membantu penjawat awam membeli kediaman mampu milik yang bermutu. Sebanyak 10,336 unit rumah sudah diluluskan kerajaan. 
Tiga jenis rumah ditawarkan iaitu bersaiz 1,000 kaki persegi dengan harga bermula RM150,000 hingga RM220,000; 1,200 kaki persegi (RM221,000 hingga RM260,000) dan 1,300 persegi (RM261,000 hingga RM300,000). 

Fasa pertama membabitkan pembinaan sejumlah 1,256 unit di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11. Ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan berbanding 36 bulan yang ditetapkan sebelum ini. 

Menerusi PPA1M, penjawat awam hanya perlu membayar minimum RM2,000 sebagai deposit dan mula membuat bayaran apabila mula mendiaminya.
-berita harian.

No comments: