Thursday, February 14, 2019

4,000 jawatan sektor awam diisi OKU



PUTRAJAYA 14 Feb. - Hampir 4,000 jawatan pelbagai peringkat di sektor awam telah diisi oleh calon-calon dari golongan orang kurang upaya (OKU).

Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan memberitahu, dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU menetapkan setiap agensi memastikan pengambilan sekurang-kurangnya satu peratus golongan itu daripada jumlah pegawai dalam agensi tersebut. 

Dasar pengisiannya pula, kata jabatan itu, diuruskan oleh ketua perkhidmatan masing-masing. 

"Dasar ini diperluas meliputi pelantikan secara tetap, sementara, kontrak atau apa-apa kaedah pelantikan yang berkuat kuasa. 

"Walau bagaimanapun, pencapaian dasar ini bergantung kepada permohonan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau melalui pengenalpastian oleh kementerian atau agensi di bawah kementerian," katanya di sini hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar semalam berkata, kerajaan akan meneruskan usaha mencapai kuota satu peratus OKU dalam sektor awam.

Jabatan itu menambah, pelantikan OKU dibuat berdasarkan kriteria calon bagi memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan dalam suatu skim perkhidmatan, kesesuaian calon dengan bidang tugas jawatan serta kemudahan yang disediakan oleh agensi yang berkenaan.

Jelasnya, hebahan peluang kerjaya itu juga turut dibuat kepada individu-individu OKU melalui pihak-pihak berkepentingan seperti persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan yang mengendalikan kebajikan golongan terbabit.

Tambahnya, ini khususnya kepada calon-calon yang berminat dan berkelayakan bagi mendapat peluang yang sewajarnya untuk memohon jawatan dalam sektor perkhidmatan awam.

"Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan golongan OKU dalam pekerjaan selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 untuk meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan terbuka dan menyumbang kepada pembangunan negara. 

"Namun begitu, kerajaan juga yakin bahawa terdapat ruang dan peluang untuk mewujudkan bentuk pekerjaan baharu yang lebih luas yang boleh dicadang dan didukung secara bersama antara sektor awam dan swasta," katanya.
-utusan.

No comments: