Tuesday, February 12, 2019

Jangan taksub kepada pemimpin tertentu

DR. MAHATHIR MOHAMAD ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN ONLINE/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 11 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu penjawat awam tidak taksub kepada pemimpin atau parti tertentu sehingga melupakan kesetiaan dan ketaatan mereka terhadap negara.

Perdana Menteri berkata, walaupun golongan itu pernah terikat dengan pihak tertentu selama 61 tahun, mereka perlu mengalihkan kesetiaan tersebut kepada negara melalui pemerintahan sedia ada, jika pihak terdahulu melakukan penyelewengan.

Menurut beliau, sekiranya penjawat awam mempunyai kesetiaan secara membuta tuli kepada orang atau parti tertentu maka yang bakal menjadi mangsa bukan sahaja golongan itu semata-mata tetapi juga anak cucu mereka sendiri.

"Negara kita inilah yang memberi nikmat kepada kita. Sebab itu ketaatan dan kesetiaan kita mestilah kepada negara walaupun ada kalanya kita perlu memberi kesetiaan kepada pemimpin atau parti tetapi yang lebih utama adalah negara.

"Jika pemimpin itu dapat meningkatkan pencapaian negara kita maka mestilah kita setia kepadanya. Tetapi kalau kita dapati pemimpin sudah menyeleweng dan kurang tumpuan kepada kebaikan kita dan negara maka kesetiaan itu tidak (perlu) begitu kuatlah sehingga kita lupakan apa terjadi kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dr. Mahathir menjelaskan, penjawat awam perlu faham bahawa tugasnya bukan untuk pihak-pihak tertentu, sebaliknya ketaatan secara sementara diberikan kepada pemimpin atau parti hanya jika mereka dapat memenuhi kehendak negara.

"Kalau negara itu ditadbir dengan baik maka ia mendapat kesetiaan dan ketaatan dari kita tetapi kalau ada penyelewengan, maka lebih utama adalah negara bukan pemimpin, parti atau ideologi tertentu. 

"Ini harus kita ingat bersama, baik daripada ahli politik dipilih oleh rakyat atau jentera pentadbiran supaya negara kita akan terus aman dan dapat dimajukan untuk kebaikan kita semua," katanya.
-Utusan Online.

No comments: