Thursday, February 21, 2019

Kakitangan awam digalak pohon CeupacsCare, CuepacsPA


KAKITANGAN MyCeupacsCare, Nur Farahain Mohamad Anib menunjukkan
proses permohonan yang boleh dibuat secara dalam talian. – Utusan.

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Kakitangan perkhidmatan awam boleh membuat permohonan perlindungan program takaful CuepacsCare dan CuepacsPA yang dilancarkan Pusat Khidmat Pemasaran MyCuepacsCare (MyCuepacsCare).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dalam satu kenyataan berkata, sistem yang dilancarkan pada awal Januari itu boleh diakses melalui www.cuepacscare.my.

Setakat ini katanya, MyCuepacsCare telah menerima lebih 2,000 permohonan daripada penjawat awam menerusi pautan berkenaan.

“Permintaan penjawat awam untuk menyertai program takaful yang diilhamkan CUEPACS amat tinggi. Tetapi mereka mungkin tidak mempunyai masa bertemu dengan wakil pemasaran atau hadir ke pejabat Medicare bagi mengambil borang disebabkan kekangan kerja.

“Setelah selesai memohon secara dalam talian, MyCuepacsCare akan menghantar borang lengkap kepada penjawat awam melalui perkhidmatan pos untuk diisi mereka. Diharapkan ia dapat membantu penjawat awam untuk menyertai CuepacsCare dan CuepacsPA,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu Azih berkata, program takaful berkenaan dilancarkan sebagai alternatif kepada penjawat awam mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta pada kadar mampu selain menyediakan perlindungan untuk sebarang kemalangan yang tidak dijangka.

Menurutnya, melalui inisiatif itu penjawat awam ditawarkan takaful hospital dan pembedahan serendah RM32 sebulan melalui CuepacsCare, manakala RM6 sebulan bagi takaful kemalangan diri CuepacsPA yang memberi perlindungan sehingga RM220,000.

“Kesedaran rakyat Malaysia secara keseluruhan untuk mendapatkan perlindungan takaful atau insurans masih lagi rendah. Kita berharap usaha MyCuepacsCare mempromosikan program takaful ini dapat meningkatkan kesedaran kepeningan memiliki perlindungan tambahan selaras hasrat Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sehingga kini, lebih 500,000 penjawat awam telah mendapat manfaat daripada CuepacsCare dan CuepacsPA. Hasrat CUEPACS adalah mahu penjawat awam di negara ini memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful untuk keluarga mereka,” ujarnya.
- Utusan.

No comments: